CIAPAN pelakon, Bront Palarae di Twitternya berserta tanda pagar #KerajaanGagal dan #PembangkangLemah semalam, menarik perhatian Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi ciapan berkenaan, pemilik nama penuh Nasrul Suhaimin Saifuddin berkata, #KerajaanGagal adalah disebabkan #PembangkangLemah.
“Bila #KerajaanGagal sebab #PembangkangLemah, pilihan yang ada cuma #KitaJagaKita.
“We are merely stats & numbers to them. If u tolerate this, your children will be next,” ciapnya.
Susulan itu, Anwar dalam reaksi balasnya, menjelaskan beliau menerima teguran berkenaan dan memberi jaminan memastikan Ahli Parlimen pembangkang bekerja keras demi rakyat.
“Kami masih bekerja dalam kerangka undang-undang dan Perlembagaan, dan syukur titah Tuanku Agong baru-baru ini telah arahkan Parlimen dan semua jawatankuasa Parlimen bermesyuarat. Selama ini Parlimen ditutup terus.
“Dalam masa yang sama ahli-ahli Parlimen pembangkang bekerja keras saban hari membantu rakyat termasuk mengadakan kutipan derma kerana peruntukan kami tidak sebesar ahli Parlimen blok kerajaan.
“Tapi ini bukan alasan untuk kami tidak berkhidmat, dan kami sangat hargai teguran saudara @Bront_Palarae dalam menghadapi norma baharu hari ini,” ciapnya.
Bront Palarae antara selebriti tempatan yang dilihat aktif memantau perkembangan situasi politik dengan memberi pandangan dan kritikan melalui ciapan Twitternya dari masa ke masa.
Sebelum ini, Bront Palarae pernah menyuarakan rasa kesal terhadap kegagalan kerajaan menerusi ciapan Twitternya.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan memperjuangkan dan membela nasib rakyat, tunjukkan tindakan yang berkesan bukan menekan rakyat.
“Cukup sudah derita yang kami lalui, jangan ditambahkan lagi beban kami dek kejahilan dan ketamakan kalian.
“Terimalah hakikat yang kalian sememangnya tidak mampu,” luahnya. – Malaysiapost

