PNGK Nasional STPM 2020 meningkat 0.01 peratus

0
3

SERAMAI 741 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 mendapat Pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dan jumlah itu merosot berbanding 802 calon pada 2019.

Ahli Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Wahid Razzaly, berkata secara keseluruhan PNGK Nasional STPM 2020 meningkat 0.01 peratus daripada 2.77 pada 2019 kepada 2.78.

Menurutnya, peratusan golongan B40 yang mencapai PNGK 4.00 adalah 74.76 peratus atau 554 daripada 741 calon STPM 2020 yang memperolehnya.

“Daripada 741 calon yang mendapat PNGK 4.00, 23 calon mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil dan 718 calon telah mendapat 4A dalam mata pelajaran yang diambil.

“Dari segi analisis calon mendapat 5A dan 4A, didapati berkurangan iaitu 23 calon mendapat 5A berbanding 42 calon STPM 2019, manakala 718 calon mendapat 4A berbanding 760 pada STPM 2019,” katanya pada sidang media Pengumuman Keputusan STPM 2020 secara maya hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya pencapaian PNGK calon bandar masih mengatasi PNGK calon luar bandar dengan masing-masing PNGK 2.80 dan 2.78.

Menurutnya, dari segi perbezaan jurang antara bandar dengan luar bandar pula, didapati pencapaian antara calon bandar dengan calon luar bandar sama seperti STPM 2019, iaitu beza jurang sebanyak 0.02 mata.

“Peratusan longgokan calon pada PNGK 3.09 ke atas pula meningkat daripada 33.45 peratus atau 14,994 calon pada tahun 2019 kepada 33.69 peratus atau 14,482 calon pada STPM 2020.

“Manakala peratusan longgokan calon pada PNGK 3.00 hingga 2.00 menurun daripada 51.81 peratus atau 23,221 calon kepada 50.97 peratus atau 21,910 calon berbanding pada STPM 2019,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here