Majoriti Ketua AMK Selangor hilang kepercayaan terhadap Akmal Nasir

0
2
Parti Keadilan Rakyat

SEBAHAGIAN besar Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Akmal Nasrullah Mohd Nasir selaku Ketua AMK Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, ketua-ketua AMK Selangor itu juga menolak pelantikan Chua Wei Kiat sebagai Ketua AMK Selangor yang baharu.

Mereka yang mendakwa mewakili majoriti ketua-ketua AMK Cabang dalam Selangor turut mendesak Kongres AMK Luar Biasa (EGM) bagi memilih semula Ketua AMK Malaysia yang baharu.

“Kami merujuk kepada kenyataan media oleh Setiausaha AMK Malaysia, Syukri Razab bertarikh 30 Jun 2021 berkaitan pertemuan secara maya bagi membincangkan pemilihan Ketua AMK Selangor yang baharu.

“Perlu dijelaskan bahawa kenyataan Setiausaha AMK Malaysia berhubung jumlah kehadiran ketua-ketua AMK Cabang seramai 18 orang adalah tidak benar dan bersifat mengelirukan,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, jumlah ketua-ketua AMK Selangor yang menyertai pertemuan secara maya pada 29 Jun 2021 adalah seramai 15 orang sahaja.

Ia membabitkan cabang Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, Bangi, Tanjong Karang, Kapar, Hulu Selangor, Kota Raja, Petaling Jaya, Selayang, Sabak Bernam, Shah Alam, Pandan, Sungai Buloh dan Sepang.

“Enam ketua AMK Cabang tidak menyertai pertemuan secara maya tersebut iaitu Puchong, Klang, Damansara, Kuala Selangor, Ampang dan Subang.

“Untuk rekod, Ketua AMK Cabang Sungai Besar pula telah melepaskan jawatan beberapa minggu yang lalu,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan dalam pertemuan secara maya tersebut, hanya Ketua AMK dari Cabang Shah Alam, Sabak Bernam dan Sepang yang tidak membantah pencalonan Chua Wei Kiat sebagai Ketua AMK Negeri Selangor yang baharu.

Menurutnya, secara kolektif, semua ketua-ketua AMK Selangor mencadangkan kepada Ketua AMK Malaysia agar Ketua AMK Negeri yang baharu dipilih dari kalangan mereka yang memiliki sokongan majoriti.

“Sehubungan dengan itu, kami mewakili majoriti ketua-ketua AMK Cabang dalam Negeri Selangor dengan ini menolak pelantikan Ketua AMK Selangor yang baharu dan secara sebulat suara memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Akmal Nasrullah selaku Ketua AMK Malaysia,” katanya.

Kenyataan itu dibuat secara bersama oleh Ketua AMK Kuala Langat, Mohd Shah Rezza Mohd Tuniman; Ketua AMK Puchong, Mohd Fitri Jamaludin; Ketua AMK Damansara, Muhammad Dzul Hilmi Zainol; Ketua AMK Hulu Langat, Muhammad Hanafi Jalalludin; Ketua AMK Bangi, Saiful Azlan Zainal dan Ketua AMK Hulu Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.

Selain itu, Ketua AMK Tanjong Karang, Mohd Helmi Sanusi; Ketua AMK Kota Raja, S Jestin Raj; Ketua AMK Klang, Ahmad Faiz Mustapa Kamal; Ketua AMK Petaling Jaya, Shahrul Nizam Abdul Rahim; Ketua AMK Kapar, Megat Shariffudin Shaharuddin; Ketua AMK Gombak, Arie Yudistira Ishaq Arifin Fadli; dan Ketua AMK Ampang, Awalluddin Shariff. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here