Kenduri durian: Polis tentukan tindakan – Ismail Sabri

0
2
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada media di Pusat Pengagihan Vaksin (PPV) PWTC hari ini.

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi menegaskan tiada sesiapa akan terlepas daripada dikenakan tindakan jika melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Beliau mengulas berhubung isu Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon bersama beberapa individu lain yang tular menikmati durian di sebuah kebun, baru-baru ini.

Ismail Sabri berkata, perkara tersebut kini dalam siasatan polis dan pihak polis akan menentukan sebarang tindakan yang akan dikenakan jika terbukti berlaku pelanggaran SOP.

“Ada yang mengatakan video kenduri durian tersebut dua tahun lalu, namun semalam beliau (Mohd Rashid) mengakuinya terdapat salah faham.

“Jadi kita serah kepada polis sebab ada dua kenyataan yang berbeza. Tentu saja polis yang boleh menentukan. Justeru isu yang berkaitan dengan sesiapa sahaja, saya dah kata sesiapa pun tidak akan terlepas daripada undang-undang.

“Tiada orang yang ada kekebalan dari segi undang-undang di Malaysia ini, tetapi untuk tindakan adalah oleh pihak polis yang perlu disiasat secara terperinci,” katanya kepada media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV), PWTC hari ini.

Semalam, Mohd Rashid Hasnon mengaku memberi ulasan kepada media tanpa meneliti video yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Dalam kenyataan, beliau memohon maaf atas kekhilafan berkenaan penjelasan video yang memaparkannya menjamu durian beramai-ramai yang tular di media sosial.

“Saya mohon maaf di atas kekeliruan yang timbul apabila terdapat media yang menghubungi saya bagi bertanyakan mengenai video saya di kebun dan saya menjawab soalan tersebut tanpa menonton sendiri video pada awalnya.

“Setelah selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam (kelmarin), barulah saya ada kesempatan untuk analisa video yang terkait pada saya,” katanya.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah dilaporkan berkata satu laporan polis sudah dibuat berkenaan video yang tular di media sosial itu dan kertas siasatan sudah dibuka.

Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here