‘Selagi tiada pengumuman, kita anggap khabar angin sajalah’

0
1
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada media di Pusat Pengagihan Vaksin (PPV) PWTC hari ini.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebarang pengumuman berkenaan peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mahupun berkaitan ‘total lockdown’ mestilah daripada kerajaan.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu mengulas mengenai laporan bahawa tiga negeri dijangka beralih ke Fasa 2 PPN minggu depan.

“Saya pun tak tahu daripada sumber mana, sumber mana tu.. sebab pengumuman mesti daripada kerajaan sama ada Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini KKM pun tak memberi indikator apa-apapun (termasuk) daripada Ketua Pengarah (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) yang memberi kenyataan media setiap hari.

“Saya tak pernah sebut (peralihan fasa) cuma saya gambarkan kita sedang melihat nilai ambang berdasarkan negeri-negeri bukan setakat nasional.

“Jadi setakat ini belum ada pengumuman lagi, selagi tiada pengumuman, kita anggap khabar angin sajalah,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV), PWTC hari ini.

Semalam media melaporkan Perlis, Kelantan dan Terengganu antara negeri yang dijangka beralih ke Fasa 2 PPN minggu depan.

Portal Awani yang memetik sumber melaporkan, keputusan untuk menamatkan ‘total lockdown’ di beberapa negeri dibuat oleh pentadbiran Putrajaya berpandukan nilai ambang di negeri-negeri tersebut yang telah berjaya dilandaikan.

Menurut laporan itu, perincian mengenai peralihan di negeri-negeri tersebut sudah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu.

Langkah ini bagi mengelak negeri-negeri yang menunjukkan perkembangan positif fasa pemulihan tetapi terhalang daripada beralih ke fasa berikutnya kerana kes Covid-19 yang masih tinggi di Selangor.

Mengenai SOP di Sabah, Ismail Sabri berkata ia telah dibincangkan sebelum ini bahawa negeri-negeri tidak boleh mengumumkan sendiri mengenai SOP.

“Walaupun kita faham setiap negeri berbeza, satu sistem tak boleh fixed untuk semua tetapi asasnya tak boleh berbeza.

“Kalau tidak, setiap negeri akan umumkan sendiri, jadi susah. Sabah kita faham negerinya berbeza dengan Semenanjung, negerinya luas sama juga Sarawak, justeru pendekatan Sabah mungkin berbeza.

“Sebab itu dulu kita juga ada beri kelonggaran kepada Sabah dan Sarawak membuat SOP mereka, tetapi tidak boleh jauh berbeza dengan standard SOP yang kita (kerajaan Pusat) keluarkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here