PENDUDUK Mentari Court di Sungai Way, Petaling Jaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini, akan menerima vaksin Covid-19 pada Ahad dan Isnin ini.
Mereka akan menjadi kumpulan pertama penduduk PKPD yang menerima vaksin menerusi kerjasama kerajaan Selangor dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar berkata penduduk yang akan diberikan vaksin adalam dalam kalangan mereka yang didapati negatif ujian saringan Covid-19 yang akan dilaksanakan di lokaliti itu.

“Sebaik PKPD dilaksanakan, JKNS akan melakukan pengesanan kontak rapat dari kes yang telah dikenalpasti, kemudian buat saringan Covid-19.
“Selepas itu penduduk yang negatif akan divaksinasi, tempat ni akan dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Ia antara usaha kerajaan negeri untuk pastikan pemberian vaksin dapat dilaksanakan lebih cepat,” katanya kepada media selepas meninjau hari pertama PKPD Mentari Court.
Sementara itu, Dr Sudeash Rajakrishnan dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling berkata vaksinasi di lokaliti tersebut akan melibatkan warga asing.
“Kita nak kawal perebakan, jadi semua yang berada di dalam kawasan PKPD akan divaksin. Kalau kita abaikan mereka (warga asing), matlamat kita tidak akan tercapai,” katanya.
Beliau memaklumkan setakat hari ini lokaliti tersebut telah mencatatkan lebih 500 kes positif Covid-19, kebanyakannya melibatkan individu yang bekerja dalam sektor perkilangan.
PKPD Mentari Court bermula hari ini sehingga 14 Julai melibatkan 3,599 unit rumah dengan 17,000 penduduk. – Malaysiapost

