Urusan kaunter JPN dengan janji temu sahaja

0
2
Jabatan Pendaftaran Negara

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) kembali membuka operasi perkhidmatan kaunternya di semua pejabat JPN seluruh negara mulai hari ini dalam tempoh Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun, semua urusan perkhidmatan kaunter JPN adalah berdasarkan janji temu sahaja.

JPN dalam satu makluman yang dimuatnaik di laman Facebooknya, berkata sebarang urusan tanpa bukti janji temu atau ‘walk-in’ adalah tidak dibenarkan.

“Untuk mendapatkan tarikh janji temu, layari https://mytemujanji.jpn.gov.my/.

“Orang ramai boleh hubungi talian Bilik Gerakan JPN yang disenaraikan untuk sebarang pertanyaan,” menurut makluman itu.

Selasa lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata setelah meneliti keperluan pembukaan kaunter perkhidmatan kerajaan yang mendesak berdasarkan maklum balas awam, kerajaan memutuskan semua kaunter perkhidmatan akan kembali beroperasi secara fizikal mulai hari ini.

Menurutnya, pengoperasian adalah dengan tatacara ditetapkan iaitu perkhidmatan yang tidak boleh dilaksanakan secara dalam talian; kapasiti petugas kaunter tidak melebihi 50 peratus; dan kehadiran secara fizikal hanya melalui temu janji berjadual.

Beliau berkata, semua ketua jabatan perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi setiap masa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here