Pelabur asing tak yakin jika unjuran KDNK negara sering tersasar – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

KESILAPAN kerajaan membuat unjuran pertumbuhan ekonomi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara akan mengakibatkan pelabur asing tidak yakin untuk melabur.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata unjuran yang jauh tersasar akan memberi impak negatif kepada sasaran defisit negara, hutang negara dan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

Menurutnya, pelabur asing akan hilang keyakinan sekiranya kerajaan berkali-kali jauh tersalah dalam pengendalian ekonomi dan fiskal negara serta sering memberi unjuran yang tidak boleh dipercayai.

“Bulan November 2020, kerajaan PN (Perikatan Nasional) unjur KDNK akan negatif 4.5 peratus. Akhirnya jatuh menjadi negatif 5.6 peratus – bermakna Bajet 2020 sudah pecah dan tersalah buat.

“Kadar negatif 5.6 peratus ini juga jauh di bawah kadar purata ekonomi global sebanyak negatif 4.3 peratus – bermakna negara ketinggalan dunia pada tahun 2020.

“Unjuran diberi kerajaan PN bagi 2021 semasa membuat Bajet 2021 pula ialah pertumbuhan 7.5 peratus dan sekali lagi terbukti salah apabila World Bank turunkan unjuran kita ke 4.5 peratus manakala syarikat penarafan kredit Standard & Poors turunkannya ke 4.1 peratus,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sendiri mengaku tersalah dan bajet sudah tersasar mengakibatkan kerajaan perlu semak semula bagi menurunkan unjuran.

“Sekiranya ramalan World Bank dan Standard & Poors terbukti benar maka ianya juga akan jauh di bawah unjuran kadar purata ekonomi global sebanyak 5.6 peratus, bermakna Malaysia sekali lagi akan ketinggalan dunia pada tahun 2021.

“Unjuran yang terlalu optimistik dan syok sendiri juga pernah dibuat kerajaan PH (Pakatan Harapan) dahulu apabila mereka unjur KDNK akan tumbuh 4.9 peratus pada tahun 2019 tetapi akhirnya tersasar ke kadar 4.3 peratus,” katanya.

Najib berkata, seperti saranannya pada perbahasan Bajet 2019 dan 2021 di Parlimen, kerajaan tidak boleh bergantung kepada ramalan perkembangan KDNK hanya berdasarkan kepada situasi terbaik, tetapi perlu bersedia juga menghadapi situasi terburuk.

“Sebab itu, kerajaan BN (Barisan Nasional) masa saya Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sentiasa konservatif dan realistik semasa membuat bajet tahunan.

“Akibatnya, kita tidak pernah perlu semak semula menurun unjuran dan ramalan pertumbuhan KDNK kita dan kita juga tidak pernah gagal memenuhi sasaran penurunan bajet defisit dan nisbah hutang negara bagi lapan tahun berturut-turut.

“Sebaliknya, kita sering disemak naik unjuran pertumbuhan KDNK kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here