TINDAKAN pantas dan berani anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan orang awam yang berjaya menahan peragut di Taman Mount Austin, Johor Bahru semalam, mendapat ucapan tahniah daripada polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata ia membolehkan suspek berusia 32 tahun itu ditangkap, seterusnya diserahkan kepada polis.
Dalam kejadian itu, katanya, suspek meragut beg tangan wanita berusia 30 tahun namun terjatuh bersama motosikal ditunggangnya.
Beliau berkata, mangsa kemudian menjerit meminta bantuan dan seorang anggota penguat kuasa MBJB yang sedang bertugas serta orang awam di sekitar tempat kejadian lalu menahan suspek tersebut.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka calar di lengan kiri, manakala suspek diserahkan kepada polis yang tiba di tempat kejadian sejurus menerima maklumat,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Mohd Padzli berkata, polis merampas motosikal digunakan suspek, topi keledar dan beg tangan mangsa sebagai barang kes.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan,” katanya. – Malaysiapost

