PERLIS, Kelantan dan Terengganu antara negeri yang dijangka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu depan.
Difahamkan, keputusan untuk menamatkan ‘total lockdown’ di beberapa negeri dibuat kerajaan berpandukan nilai ambang di negeri-negeri tersebut yang telah berjaya dilandaikan hasil Pelan Pemulihan Negara.
AstroAwani yang memetik sumber melaporkan, perincian mengenai peralihan di negeri-negeri tersebut sudah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu.
“Langkah ini bagi mengelak negeri-negeri yang menunjukkan perkembangan positif fasa pemulihan tetapi terhalang daripada beralih ke fasa berikutnya kerana kes-kes Covid-19 yang masih tinggi di negeri Selangor.
“Langkah ini selaras dengan perancangan Pelan Pemulihan Negara yang lebih fokus dan bukan pendekatan one-size-fits-all,” katanya.
Berdasarkan kerangka PPN di peringkat pusat, fasa pertama kawalan pergerakan dilanjutkan kerana kes Covid-19 belum mencapai nilai ambang di bawah 4,000 selama tujuh hari sebelum beralih ke fasa seterusnya.
Tambah sumber itu, langkah lebih khusus ini akan membolehkan negeri-negeri mencapai nilai ambang peralihan fasa sekali gus melonggarkan sekatan pergerakan dan aktiviti ekonomi.
“Kerajaan juga dijangka mengambil langkah khusus untuk memperketat kawalan pergerakan di negeri Selangor,” katanya.- Malaysiapost

