PERSATUAN Haiwan Malaysia hari ini melancarkan Kempen Kibar Bendera Merah bagi membela nasib haiwan peliharaan.
Presidennya Arie Dwi Andika, berkata inisiatif itu bertujuan membantu pemilik terkesan akibat pandemik Covid-19 bagi mendapatkan bantuan untuk haiwan peliharaan mereka.

Menurutnya, langkah itu juga diambil kerana berlakunya peningkatan kes pembuangan kucing dan anjing peliharaan ke jalanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pembuangan haiwan berlaku kerana pemilik tidak mampu untuk terus memelihara kucing dan anjing peliharaan mereka kesan faktor ekonomi.
“Akibatnya banyak kucing dan anjing terpaksa dihumban ke jalanan sedangkan haiwan itu sudah lama dipelihara, malah menjadi sebahagian keluarga mereka.
“Akhirnya kucing dan anjing dibuang ke jalanan mengalami kecederaan, trauma, penyakit berjangkit dan mati kerana tidak dapat menyesuaikan dengan keadaan sekeliling,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Sementara itu, Pengurus projek kempen itu, Ashraf Ariff berkata, pemilik haiwan peliharaan hanya perlu mengibarkan bendera merah sebagai isyarat kepada penduduk sekeliling yang mereka memerlukan bantuan.
Beliau turut berharap kempen itu mendapat sambutan dan menyeru masyarakat memainkan peranan dengan prihatin terhadap masalah jiran terutama yang mempunyai haiwan peliharaan.
Menurutnya, sikap ambil peduli dengan bertanya khabar keperluan bekalan makanan untuk kucing dan anjing jiran secara tidak langsung akan membantu individu terbabit menghadapi tekanan ekonomi dalam tempoh pandemik Covid-19.
“Keprihatinan masyarakat membantu mengatasi masalah pembuangan kucing dan anjing di jalanan sekali gus mengekang kezaliman terhadap haiwan akibat tekanan perasaan pemilik.
“Semua masyarakat di seluruh negara diharap menyertai kempen ini demi kelangsungan nasib dan hidup kucing dan anjing daripada menjadi mangsa pembuangan haiwan,” katanya. – Malaysiapost

