Nilam Oshman
SEBANYAK 13 lagi kluster baharu melibatkan tempat kerja dikenalpasti Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.
Jumlah itu adalah daripada keseluruhan 23 kluster baharu yang dilaporkan KKM di seluruh negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor dan Johor hari ini merekodkan kluster tempat kerja tertinggi iaitu empat kluster.
Kluster di Selangor membabitkan Kluster Industri Jalan Ikan Duyung; Industri Subang Utama Enam; Jalan PPS Satu dan Industri Jalan Masjid Batu Sembilan.
Manakala, Johor melibatkan Perindustrian Murni Empat; Jalan Penaga Industri; Batu 23 Choh dan Perindustrian Rami Satu.
Kluster tempat kerja di negeri lain yang dicatatkan hari ini adalah tiga di Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Pulau Pinang dan Perak.
Selain itu, beliau berkata, terdapat lapan kluster berkaitan aktiviti komuniti membabitkan tiga di Sarawak dan Kelantan dan masing-masing satu di Johor serta Sabah.
“Turut direkodkan ialah satu kategori Kluster Kumpulan Berisiko Tinggi iaitu di Klang, Selangor (Kluster Jalan Emas Putih) dan satu kategori Pendidikan Lain di Bera, Pahang melibatkan Meranti Indah,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, secara keseluruhan sejak pandemik bermula terdapat 2,844 kluster Covid-19 di negara ini.
“Jumlah kluster yang sudah tamat adalah 1,958 manakala jumlah kluster aktif dengan kebolehjangkitan membabitkan 886 kluster,” katanya. – Malaysiapost

