
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi boleh memberi alasan dan berdolak-dalik berhubung titah Yang di-Pertuan Agong agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
Wartawan Veteran A Kadir Jasin, berkata menerusi kenyataan bersama Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat hari ini, mendedahkan Yang di-Pertuan Agong telah menyatakan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini.
“Menurut (Tan Sri) Dr Rais Yatim dan (Datuk) Azhar Azizan Harun, mereka telah menyatakan komitmen serta kesediaan penuh Parlimen Malaysia untuk mengadakan persidangan seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong itu.
“Rais dan Azhar berkata, mereka telah memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai titah Agong itu dan seterusnya mencadangkan kepada Perdana Menteri agar satu persidangan khas Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos mengikut peruntukan-peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam hantaran Facebook.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sama ada kenyataan Rais dan Azhar Azizan itu yang menyebabkan Perdana Menteri cirit-birit sehingga terpaksa diwadkan.
“Daripada kenyataan ini, jelaslah Muhyiddin dan konco-konconya tidak lagi boleh berdolak-dalik mengenai pengertian titah Yang di-Pertuan Agong agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta timbalan timbalan kedua-dua Dewan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini.
Perkara itu dinyatakan Rais serta Azhar Azizan menerusi kenyataan bersama hari ini.
Kedua-duanya menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen Malaysia untuk mengadakan persidangan Parlimen seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda. – Malaysiapost
