
TIGA lokaliti membabitkan tiga negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa bermula 2 Julai hingga 15 Julai 2021.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD dilaksanakan untuk memastikan penduduk berisiko dijangkiti Covid-19 kekal berada dalam kawasan mereka.
“Pada masa sama, ia akan memudahkan tindakan kawalan Covid-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan, seterusnya menghalang penularan lanjut dalam kawasan terlibat serta ke komuniti luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semua lokaliti yang dikenakan PKPD adalah Penjara Jelebu (kecuali Blok Muhasabah yang menempatkan tahanan PTP) dan Kuarters Kakitangan, Jelebu, Negeri Sembilan; Kampung Pangkal Jetas, Machang, Kelantan dan Taman Public, Kota Kinabalu, Sabah.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan PKPD di Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah yang dijadualkan tamat pada 1 Julai 2021, telah dilanjutkan bermula 2 Julai hingga 15 Julai ini.
Katanya, pelaksanaan PKPD dilakukan selepas mendapati penularan masih berlaku dalam komuniti serta terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut. – Malaysiapost
