AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Chua Wei Kiat dilantik sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Wei Kiat yang juga Ketua AMK Selayang menggantikan Najwan Halimi yang menerima surat pemecatan jawatan daripada AMK, kelmarin.
Setiausaha AMK Malaysia, Syukri Razab menerusi kenyataan berkata satu jawatankuasa penuh AMK negeri akan diumumkan oleh Wei Kiat setelah proses perbincangan dibuat bersama ketua-ketua AMK Cabang di Selangor.
“AMK Malaysia yakin keputusan ini akan mampu memperkukuh kedudukan AMK di Selangor.
“AMK Malaysia menyeru seluruh anggota AMK khususnya di Selangor untuk memberi kerjasama dan sokongan padu kepada YB Chua Wei Kiat selaku Ketua AMK Selangor yang baharu dalam usaha kita untuk terus menjuarai isu-isu rakyat dan anak muda,” katanya.
Wei Kiat yang menang dengan majoriti undi 23,860 pada Pilihan Raya Umum 2018, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Pasaran dari University of Abertay Dundee, United Kingdom.
Sementara itu, Syukri berkata satu perjumpaan antara Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir bersama ketua-ketua AMK Cabang di Selangor telah diadakan malam tadi.
Sesi rundingan itu, katanya bagi memenuhi tuntutan Perkara 12.4 yang termaktub dalam Peraturan AMK 2014 dalam proses memilih Ketua AMK Selangor yang baharu.
Beliau berkata, pertemuan secara maya itu dihadiri 18 ketua-ketua AMK Cabang yang sah dan rasmi di Selangor berdasarkan rekod Mesyuarat Agung Tahunan Angkatan Muda Keadilan Cabang (MATAMKC) 2020.
“Tujuan pertemuan ini juga bagi mendengar pandangan dan maklum balas di samping untuk Ketua AMK Malaysia memberikan penjelasan mengenai keputusan serta hala tuju AMK.
“Seramai enam nama telah dikemukakan sebagai calon Ketua AMK Selangor dan diberi pertimbangan sewajarnya oleh Ketua AMK Malaysia.
“Pertimbangan utama adalah untuk memastikan idealisme KEADILAN terus digilap, mengekalkan kemenangan Pakatan Harapan di Selangor serta meneruskan kesinambungan barisan pelapis AMK untuk memegang tampuk pimpinan sebagai usaha melahirkan lebih ramai pemimpin anak muda dalam organisasi AMK dan KEADILAN,” katanya. – Malaysiapost

