USAHA mengadu domba tidak akan melemahkan dan memecahbelahkan Umno, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebaliknya berkata pimpinan dan ahli Umno terus fokus kepada kerja-kerja memperkasakan parti.
Katanya, usaha mengadu domba oleh pihak tertentu tidak akan mengalih tumpuan kepimpinan Umno daripada usaha menjulang kembali parti tersebut.
“Semangat dan persiapan Umno berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tetap bingkas dan terus mara. Pimpinan dan ahli Umno akan terus mengambil berat keadaan rakyat dan negara.
“Berusaha semampu boleh untuk membantu walau dalam kapasiti yang terhad,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Ahmad Zahid juga meminta ahli Umno agar berhati-hatilah dengan percaturan dan propaganda lawan serta bijak menilai kelicikan musuh.
“Tidak benar mereka mahukan yang terbaik untuk Umno. Awas kepada muslihat dan tipu daya. Umno tetap Umno. Pemimpin dan ahli akar umbi Umno yang tahu apa terbaik untuk Umno.
“Insya-Allah Umno berada di landasan yang tepat. Umno ada strategi dan bangkit. Kepada Allah SWT kita berserah dan memohon pertolongan,” katanya.
Untuk rekod, kebelakangan ini Ahmad Zahid sering dikritik beberapa pihak termasuk dalam kalangan pemimpin Umno sendiri berhubung beberapa keputusan dibuat parti itu.
Antara yang lantang mengkritiknya adalah Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang membuat pengakuan terbuka mendapatkan sokongan 25 Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN).
Ia bagi memilih Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai jurucakap mereka jika dipanggil menghadap oleh Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

