Kerajaan PN ada kebertanggungjawaban

0
4

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengakui kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan dibentuk selepas diadakan pilihan raya, sebaliknya berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, beliau berkata, kerajaan PN tidak mempunyai manifesto yang biasanya dibentangkan kepada rakyat ketika kempen pilihan raya.

Bagaimanapun, beliau berkata ia tidak bermakna kerajaan boleh melakukan sewenang-wenangnya.

“Tanpa manifesto, saya fikir agak sukar untuk saudara-saudari menilai pencapaian kerajaan. Janji-janji mana yang telah tertunai dan mana yang belum tertunai tidak boleh disenaraikan satu-persatu.

“Tiada manifesto bukan bermakna tiada kebertanggungjawaban atau accountability kepada rakyat. Accountability sebagai pemimpin tetap ada,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur, hari ini.

Presiden BERSATU itu berkata, beliau berpegang teguh kepada hadis Rasulullah SAW iaitu ‘setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang-orang yang dipimpinnya’.

Muhyiddin berkata, beliau menerima jawatan Perdana Menteri demi menggalas amanah rakyat di bahunya.

“Saya bertanggungjawab kepada rakyat. Menteri-menteri yang saya lantik juga bertanggungjawab kepada rakyat.

“Jika kami gagal memikul amanah kepada rakyat dengan baik, kami akan dipersoalkan oleh rakyat. Itu prinsip yang paling utama,” katanya.- Malaysiapost