PdPR: Baru nak tubuh jawatankuasa atasi isu capaian internet? – soal Puad

0
2
Foto Kredit: Minda Rakyat

TINDAKAN kerajaan yang baharu menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengenal pasti kawasan tiada liputan internet untuk atasi isu kekangan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagai mengarut.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata penubuhan jawatankuasa itu disifatkan sebagai lewat kerana ia sepatutnya ia dilaksanakan sebelum PdPR bermula.

Mohd Puad berkata, tambahan pula isu masalah capaian internet kawasan pedalaman itu pernah dibangkitkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin tahun lalu.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) baru tubuh jawatankuasa? Memang mengarut. Masa laksana PdPR dulu, Kementerian Pendidikan Malaysia dan KKMM memang tidak bincang ke?

“Dulu tular video Veveonah Mosibin dari UMS yang panjat pokok di Pitas untuk dapatkan talian internet. Dia mahu ambil peperiksaan. Sudah setahun berlalu,” katanya dalam hantaran Facebook.

Mohd Puad berkata, kerajaan sepatutnya tahu bahawa isu itu sememangnya membelenggu pelajar dengan ada antaranya terpaksa meredah puncak bukit sejauh lima kilometer untuk belajar dalam talian.

“Menurut Timbalan Menteri KKMM, setelah siap laporan jawatankuasa khas itu nanti pihaknya akan turun padang.

“Baru nak turun padang? Kes Veveonah dulu tidak turun padang ke? Kerajaan PN semakin ke laut nampaknya,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, KKMM menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bersama Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi mengenal pasti kawasan tiada liputan internet atau capaian lemah bagi mengatasi masalah ketika pelaksanaan PdPR

Beliau berkata, menerusi jawatankuasa itu, pihaknya akan turun padang untuk melihat dan memantau sendiri kawasan yang tiada liputan atau capaian Internet rendah dan mengambil langkah segera mengatasinya.

“Sejak PdPR dilaksanakan, kami menerima makluman berhubung murid dan pelajar menghadapi masalah capaian Internet sehingga ada (murid) yang terpaksa berjalan jauh dari rumah untuk mendapatkan akses tersebut (internet),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here