DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyokong penuh inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang dilihat mampu memberi manfaat kepada seluruh lapisan rakyat yang terjejas akibat Covid-19.
Ketua Dewan Pemudanya, Shahir Adnan berkata pakej bantuan termasuk moratorium automatik kepada B40, M40 dan T20 adalah keputusan tepat.
Menurutnya, rakyat tanpa mengira lapisan masyarakat kian terhimpit dengan desakan hidup, termasuklah golongan M40, terutama di bandar-bandar.
“Golongan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut memerlukan moratorium pinjaman kerana perniagaan mereka turut terjejas.
“Lebih 600,000 isi rumah daripada golongan pendapatan M40 telah jatuh ke kategori B40 disebabkan krisis Covid-19 yang menjejaskan paras pendapatan penduduk Malaysia.
“Berdasarkan kajian dan maklumat Jabatan Statistik, sekurangnya-kurangnya 8 peratus daripada 7.28 juta isi rumah yang dilaporkan, mengalami kemerosotan pendapatan ke bawah paras pendapatan maksimum B40, iaitu RM4,850 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penambahbaikan segera diharap dapat dilaksanakan oleh kerajaan agar pihak bank tidak mengambil kesempatan di atas pengumuman moratorium automatik itu.
“Dilaporkan terdapat bank yang bersetuju dengan moratorium enam bulan, tetapi memanjangkan tempoh bayaran pinjaman kepada 12 hingga 24 bulan dengan kadar faedah pinjaman.
“DPIM menyelar tindakan mengambil kesempatan di kala kesempitan yang dialami rakyat,” katanya.
Shahir berkata, pengeluaran tambahan daripada simpanan rakyat sendiri melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra adalah bersesuaian, agar sewa dapat dibayar dan makanan masih dapat disediakan di atas meja, walaupun tiada pendapatan dalam Fasa 1 yang makin mencabar.
“Kemungkinan Fasa 1 lebih lama daripada 45 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh 1.0 tahun lepas.
“DPIM yakin kerajaan berusaha meringankan beban rakyat dengan mengumumkan bantuan segera ini. Penambahbaikan mungkin diberi pilihan untuk membuat pengeluaran sekali gus RM5,000 agar ia boleh dijadikan modal perniagaan kecil-kecilan,” katanya. – Malaysiapost

