Bersidang segera bincang isu bunuh diri – Fuziah

0
2
Fuziah Salleh. Kred: Suara Keadilan

PARLIMEN yang menjadi wadah menggubal dasar perlu memulakan persidangan segera, kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Ketua Wanita PKR itu berkata ia juga bagi membolehkan semua pihak membincangkan berhubung gejala membunuh diri yang dilaporkan semakin meningkat sejak pandemik Covid-19.

“Kerajaan mesti melibatkan semua pihak untuk sama-sama membendung gejala bunuh diri ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Fuziah berkata, jumlah kes bunuh diri tiga bulan pertama 2021, melebihi separuh dari jumlah keseluruhan kes bunuh diri sepanjang tahun 2020.

Katanya, tiga hari lalu beliau membawa soalan Parlimen ke domain awam untuk meminta Menteri Kesihatan mendedahkan statistik bunuh diri yang terkini berbanding tahun-tahun lalu.

“Alhamdulillah pada 29 Jun Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi tindak balas kepada soalan tersebut dengan melaporkan, jumlah bunuh diri untuk tiga bulan atau suku pertama tahun 2021 ialah 336 kes.

“Beliau juga berkata sebanyak 631 kes bunuh diri dilaporkan sepanjang 2020, manakala 609 kes dilaporkan untuk sepanjang tahun 2019,” katanya.

Beliau menambah sebelum ini maklumat media dan domain awam menyebut bahawa jumlah kes bunuh diri ialah 226 kes dalam tempoh antara 18 Mac sehingga 30 Oktober 2020.

“Ternyata statistik untuk keseluruhan tahun 2020 yang dimaklumkan Dr Noor Hisham hari ini jauh lebih tinggi dari yang kita jangkakan sebelum ini.

“Dari angka yang dikongsi, kita melihat bahawa jumlah kes bunuh diri untuk suku pertama tahun ini menunjukkan trend yang amat menakutkan, kerana jumlah kes untuk tiga bulan pertama tahun 2021 melebihi separuh keseluruhan kes pada tahun 2020.

“Bagaimana pula jumlah di akhir suku kedua, pada hari ini 30 Jun 2021? Bagaimana sekiranya kita ekstrapolasi sehingga ke hujung tahun? Adakah mungkin berlaku peningkatan 100% kes bunuh diri dari tahun 2020?,” katanya lagi.

Beliau seterusnya berkata, sekiranya sesuatu yang drastik tidak dilakukan segera, dikhuatiri andaian trend itu boleh menjadi kenyataan.

“Ia seolah-olah seperti bom jangka yang menunggu masa meletup,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Suara Keadilan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here