KADAR kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam, kini melebihi kadar neutral 1.00 untuk seluruh negara iaitu 1.04.
Berdasarkan data dan infografik dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebooknya hari ini, situasi itu menunjukkan trend menaik sejak dua minggu lalu.
Pahang mempunyai kadar kebolehjangkitan tertinggi dengan 1.17 Rt, diikuti Putrajaya (1.11), Melaka (1.10), Perak (1.09), manakala Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan kadar kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1.08 dan Selangor 1.02.
Negeri yang berada di bawah paras 1.00 pula adalah Kedah (0.97), Labuan (0.93), Sarawak (0.91), Johor (0.91), Sabah (0.90), Pulau Pinang (0.88), Kelantan (0.79), Terengganu (0.67) dan Perlis tiada kes.
Semalam kes jangkitan harian baharu kes Covid-19 juga meningkat melebihi 6,000 kes iaitu 6,437 kes menjadikan keseluruhan 745,703 kes seluruh Malaysia.
Negara kini berada dalam Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang memerlukan kes berada 4,000 kes ke bawah selama seminggu untuk beralih ke Fasa Kedua. – Malaysiapost

