KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK) di setiap Cabang PKR seluruh Selangor menuntut Najwan Halimi dikekalkan jawatannya sebagai Ketua AMK negeri itu.
Dalam kenyataan yang ditandatangani 17 Ketua AMK Cabang PKR Selangor, hari ini, telah membantah tindakan Ketua AMK Pusat Akmal Nasir yang memecat Najwan daripada jawatan itu semalam.
“Kami merujuk kepada surat oleh Setiausaha AMK Malaysia, Ahmad Syukri Razab pada Isnin, 28 Jun 2021 yang menggugurkan Najwan Halimi dari jawatan Ketua AMK Negeri Selangor tanpa sebarang asas dan alasan kukuh.
“Mewakili anggota AMK peringkat cabang seluruh Negeri Selangor, kami membantah sekeras-kerasnya keputusan tersebut yang dilakukan secara tergesa-gesa, semberono dan tanpa sebarang konsensus melibatkan pimpinan AMK cabang Negeri Selangor,” kata kenyataan itu.
Justeru, semua Ketua AMK di Selangor telah menzahirkan solidariti dan dukungan penuh kepada Najwan serta menuntut Ketua AMK Malaysia agar menarik semula keputusan beliau semalam.
Malah, mereka menuntut mengekalkan kedudukan Najwan Halimi sebagai Ketua AMK Negeri Selangor demi memastikan kestabilan sayap pemuda PKR serta untuk mengelakkan pepecahan dalaman parti.
“Kami juga turut menyatakan sokongan serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dan akan terus mempertahankan beliau dari digugat oleh pihak-pihak yang cuba melemah serta memecahbelahkan parti,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Najwan digugurkan daripada jawatannya itu berkuat kuasa serta-merta.
Beliau yang juga ADUN Kota Anggerik mengesahkan perkara tersebut setelah menerima surat pemecatan daripada Setiausaha Ahmad Syukri sekitar jam 11 pagi, semalam.
Menurutnya berdasarkan isi kandungan surat tersebut, pemecatan beliau adalah disebabkan oleh rombakan semula struktur organisasi AMK Selangor. – Malaysiapost

