Pakej Pemulih bukti kerajaan prihatin – Pemuda PN

0
3

PEMUDA Perikatan Nasional (PN) menyifatkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

Dalam kenyataan bersama, Pemuda PN berkata, ia jelas membuktikan kerajaan mendengar keluh kesah dan kesusahan rakyat di mana segala keputusan diambil berlandaskan keperluan semasa, bertepatan dengan denyut nadi rakyat.

“Sekalipun dalam keterbatasan, ternyata perincian PEMULIH ini jelas membuktikan keprihatinan kerajaan.

“PEMULIH meliputi nilai keseluruhan berjumlah RM150 billion yang merangkumi suntikan fiskal Kerajaan sebanyak RM10 bilion tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.

“Pemuda PN mengucapkan penghargaan atas beberapa cadangkan sebelum ini yang telah dizahirkan dalam PEMULIH. Antaranya moratorium kepada semua golongan masyarakat dan peniaga, kawalan harga minyak masak, diskaun tariff elektrik kediaman dan pengeluaran KWSP,” kata kenyataan itu.

Pemuda PN berkata, pemberian berkenaan sememangnya sesuatu yang dinantikan dan semestinya melegakan rakyat secara keseluruhannya.

Selain itu, katanya, Pemuda PN juga memuji sikap profesional kerajaan apabila memberikan peruntukan sejumlah RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen baik daripada blok kerajaan mahupun pembangkang.

“Hal ini jelas membuktikan keprihatinan Kerajaan PN adalah bersifat inklusif dan bertanggungjawab tanpa mengira ideologi politik,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Pemuda PN juga akan menggalakkan penglibatan lebih ramai sukarelawan dari kalangan parti komponen dalam melancarkan proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara dan juga kerja-kerja kebajikan.

“Justeru, Pemuda PN berikrar untuk berdiri teguh di belakang Perdana Menteri untuk menakhodai negara dan rakyat untuk keluar dari badai pandemik Covid-19 melalui Pelan Pemulihan Negara.

“Akhir sekali, Pemuda PN menyeru seluruh rakyat bersatu padu bersama menggembling usaha ke arah pemulihan negara sepenuhnya daripada ancaman wabak Covid-19 yang melanda negara.

“Marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat Ilahi, semoga usaha murni ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kita Pasti Menang!,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua Pemuda PN, Khairil Nizam Khirudin; Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Pemuda STAR , Rizal Johari; Ketua Pemuda SAPP, Jamain Sarudin dan Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Muhyiddin Yassin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here