Isu kesihatan mental rakyat perlu komitmen semua pihak – Zahid

0
3
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru pemimpin dan ahli parti supaya menggerakkan usaha membantu rakyat khususnya mereka yang benar-benar terkesan dalam mengharungi pandemik Covid-19.

Beliau berkata, rakyat ketika ini amat memerlukan bantuan dan sokongan sosial dan ia dibuktikan dengan peningkatan kes kesihatan mental sehingga mendorong untuk bunuh diri.

“Ini kali kedua saya menyentuh tentang perkara ini. Insiden bunuh diri yang semakin kerap dilaporkan. 

“Antara kes terbaru, pengusaha restoran ditemui mati dalam premis perniagaan di Kemaman. Siasatan awal dipercayai akibat terlalu tertekan masalah ekonomi. 

“Ada kes rakyat Malaysia ditemui mati bunuh diri di Thailand. Media Bangkok melaporkan perniagaan mangsa kerugian sejak pandemik Covid-19.

“Seorang lelaki lain ditemui mati tergantung di jejantas di Balakong. Dia disyaki dijangkiti Covid-19 dan pernah mengeluh tidak tahan sakit. Terbaru gantung diri di bumbung letak kereta,” katanya dalam hantaran Facebook 

Sehubungan itu, beliau berkata, situasi ini tidak boleh dibiarkan berlarutan dan semua pihak perlu memainkan peranan untuk menyelesaikan isu berkenaan.  

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terima 109,806 panggilan masalah psikologi sehingga 18 Jun lalu. 

“Antaranya disebabkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan serta hilang tempat bergantung. Pergaduhan antara ahli keluarga dan masalah rumah tangga,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, beliau merayu semua yang sedang berada dalam kesulitan bertabah dan cekalkan hati menempuh ujian serta kuatkan ketakwaan bagi yang beragama Islam. 

“Jangan bertindak terburu-buru. Kepada ahli keluarga sentiasalah saling mengambil berat dan saling menguatkan semangat.  Dalam keadaan sekarang ini, fikirkan jua bukan anda seorang yang mengalami kesulitan, terlalu ramai yang mengalaminya.

“Bagi pasangan suami isteri pula saling memberi kata-kata semangat dan dorongan dalam menghadapi situasi ini. Jangan kita menekan dan memaksa dalam mendapatkan sesuatu,” katanya.

Beliau berkata, tekanan perasaan di kalangan rakyat ini berpunca daripada tekanan yang terpaksa mereka hadapi menyebabkan golongan itu tidak berfikir panjang dan putus harapan.

“Maka pilihan mereka adalah dengan pilihan yang singkat. Fikirkan sejauh-jauhnya untuk membuat dan mengambil sebarang tindakan yang sedemikian.

“Sentiasa berbincang dengan ahli keluarga dan sahabat handai yang terdekat bagi meminta pandangan nasihat dan bantuan apa yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, dalam institusi kekeluargaan sikap sentiasa saling memahami, bertolak ansur dan bekerjasama pada waktu-waktu sukar begini amat dituntut.

“Anggota masyarakat hendaklah sentiasa peka kepada keadaan individu di sekeliling anda. Hulurkan bantuan jika ada yang memerlukan mengikut kemampuan anda. 

“Sikap ambil berat dan keprihatinan sesama insan memberi inspirasi dan motivasi,” katanya.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan akan meningkatkan strategi bagi menangani isu permasalahan kesihatan mental masyarakat, yang turut terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata empat strategi itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental (MPPKM), Selasa lalu.

“Secara dasarnya, mesyuarat bersetuju dengan keputusan meningkatkan Latihan Bantuan Asas Psikologi kepada petugas barisan hadapan dan anggota agensi lain serta memberi peruntukan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan aktiviti.

“Ia juga bersetuju untuk melaksanakan konsep ‘task shifting’ iaitu pemerkasaan masyarakat melalui memberi latihan dan kemahiran kepada individu di luar lingkungan KKM seperti ‘persons with lived experience’ untuk menyampaikan advokasi dan sokongan serta intervensi psikososial kepada masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here