Agong sekali lagi berpandangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

0
2

YANG di-Pertuan Agong sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. 

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah ia perlu diadakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ditetapkan kerajaan dan Parlimen Malaysia. 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah demikian bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen. 

Ia seperti yang termaktub dalam Perkara 160 (3) Perlembagaan Persekutuan. 

“Selain itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus telus dan bertanggungjawab. 

“Ini khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Terdahulu, Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini. 

Turut hadir pada sesi yang berlangsung selama sejam bermula 11 pagi itu ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said.  

“Semasa sesi menghadap tersebut, Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin. 

“Perlu diperjelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka Baginda dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulalan undang-undangnya,” katanya. 

Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara turut menitahkan agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here