Banyak perkara kita tak dapat kawal – Mora

0
3

PENGURUS merangkap ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelaskan banyak perkara dalam bola sepak berada di luar kawalan pasukannya, di sebalik barisan pemainnya telah melaksanakan tugas dengan baik.

“Ada banyak perkara dalam bola sepak yang kita tidak dapat kawal… kita tidak dapat kawal cuaca, padang yang teruk, layangan kad seawal minit ketiga kepada pemain pertahanan tengah saya dan seumpamanya.

“Kami cuba mengawal permainan rentak perlahan Pohang Steelers kerana mereka menggerakkan bola dengan sangat perlahan, menanti saat tiba.

“Kami telah melaksanakan tugas dengan sangat baik, tetapi malangnya mereka diberikan dua tendangan penalti,” kata Benjamin Mora menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

Malam tadi, JDT tewas 1-4 kepada Pohang Steelers FC pada aksi pusingan pertama Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Kekalahan itu meletakkan Harimau Selatan turun ke tangga ketiga dengan kekal tiga mata manakala kelab dari Korea Selatan itu melonjak ke tangga kedua selepas mengumpul enam mata.

Nagoya Grampus kekal selaku pendahulu kumpulan selepas membelasah Ratchaburi FC 4-0.

Kesilapan Leandro Velazquez, Mauricio Dos Santos dan Matthew Davies menghadiahkan penalti meranapkan impian JDT memburu kemenangan walaupun mendahului menerusi Velazquez pada awal perlawanan.

Mengulas lanjut, Mora menjelaskan barisan pemannya tidak dapat kembali dalam perlawanan walaupun kebanyakan masa menguasai bola pada babak kedua.

“Kami mempunyai beberapa peluang dan tidak menyudahkannya. Tetapi pada saya perkara yang paling penting adalah usaha para pemain.

“Saya perlu memantau pemain selepas hari ini kerana sudah tiga perlawanan yang memenatkan. Sebilangan besar dari mereka keletihan dan kami akan fokus pada pemulihan,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/JOHOR Southern Tigers

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here