SIDANG Parlimen akan dibuka dalam masa terdekat namun belum dipastikan sama ada bersidang secara biasa atau secara hibrid.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon selepas sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.
Menurut Mohd Rashid, sesi menghadap yang berlangsung kira-kira sejam itu turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Turut sama, Timbalan Speaker Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih terhadap keprihatinan Seri Paduka Baginda, kita hargai kuasa Agong semasa darurat ini.
“Jadi Insya-Allah apa yang dititahkan baginda dalam ruang lingkup… juga melalui nasihat daripada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk kita membuka Parlimen sebagaimana telah dicadang dan dititah Yang di-Pertuan Agong.
“Insya-Allah akan jumpa tak lama lagi untuk kita buka Parlimen sama ada biasa atau pun hibrid,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette, hari ini.
Beliau ditemui media di Pintu 2 Istana Negara selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Terdahulu Rais dan Azhar dilaporkan mendapat jemputan dari Istana Negara bagi membincangkan mengenai persidangan Parlimen. – Malaysiapost
Foto Kredit: Harakah Daily

