PENDAKWAH, Ebit Lew menyewakan dua rumah di Gaza, Palestin dinamakan Rumah Kasih Umat untuk dijadikan tempat tinggal dan kelas aktiviti anak-anak yatim di wilayah bergolak itu.
Beliau yang dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, memaklumkan setakat ini seramai 10 anak-anak yatim sudah ditempatkan di Rumah Kasih Umat.
“Menangis melihat anak-anak ini. Kecil lagi setiap hari hidup dengan peperangan. Saya tidur malam di sini terfikir risau juga. Inikan pula anak-anak ini sepanjang hidup diuji begini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Ebit yang tiba di Gaza semalam turut memaklumkan dia dan pasukannya menziarah seorang ibu tunggal bersama tujuh anak kecil termasuk bayi.
Menurutnya, suami wanita itu syahid baru-baru ini akibat serangan bom.
“Masa mula sampai semua sedih saja. Saya tengok anak kecil ini hati jadi tak tahan nak menangis.
“Saya dah sebulan belum jumpa anak isteri dan keluarga dah terasa sayu. Inikan pula anak kecil ini kehilangan ayah mereka. Tapi masih boleh tersenyum.
“Seronok bila bawa hadiah. Terus semua senyum. Sempat bermain-main terbang dengan anak-anak ini,” katanya.

Ebit berkata, beliau kemudian membawa keluarga itu ke Rumah Kasih Umat dan memberikan sedikit sumbangan untuk mereka serta ibu tunggal yang lain.
“Insya-Allah ada cikgu yang menjaga dan menguruskan tempat ini. Kami akan bayar gajinya.
“Ya Allah terasa bersyukur sangat dapat buka Kasih Umat di Gaza. Beribu orang kehilangan rumah tempat tinggal, kelaparan, kehilangan orang tersayang. Allahuakbar. Berat rasa hati.
“Ketika saat saya sendiri dalam diberi pelbagai nikmat. Ya Allah ampunkanlah diriku ini,” katanya lagi. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/Ebit Lew

