Bank digesa tidak kenakan faedah, caj tambahan untuk moratorium

0
3

MORATORIUM enam bulan tanpa syarat diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) semalam, diharap tidak dikenakan faedah atau caj tambahan oleh pihak bank yang akan membebankan rakyat. 

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap pakej bantuan ditawarkan itu tidak seperti Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) lalu. 

Beliau mendakwa, pakej PEMERKASA yang lalu ternyata ‘indah khabar dari rupa’ apabila rata-rata aduan dan maklum balas daripada rakyat yang berurusan dengan pelbagai bank berhadapan dengan caj dan faedah tambahan yang amat membebankan. 

“Contohnya, untuk pinjaman kenderaan (sewa beli) versi PEMERKASA (PKP 2.0), bagi setiap moratorium (tangguhan ansuran) untuk tiga bulan, akan dikenakan lanjutan pinjaman selama setahun. 

“Manakala moratorium enam bulan pula dikenakan lanjutan pinjaman selama dua tahun. 

“Ini bermakna peminjam terpaksa membayar balik pinjaman dengan kadar lebih tinggi jika memilih untuk mengambil moratorium kerana bank mengenakan caj/faedah tambahan (compounded interest),” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini. 

Asyraf Wajdi berpendapat, bank tidak akan rugi apa-apa malah mengaut lebih banyak keuntungan dan dalam situasi itu ia dilihat sebagai mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat. 

“Harapnya pakej PEMULIH (PKP 3.0) yang diumumkan tidak mengulangi pakej PEMERKASA (PKP 2.0). 

“Pemuda Umno mendesak agar Menteri Kewangan khususnya dapat memastikan agar bank-bank mengecualikan faedah bagi tempoh enam bulan moratorium ini,” katanya. 

Beliau bagaimanapun, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil kira pandangan dan tuntutan rakyat agar moratorium diperluaskan kepada semua kelompok termasuk B40, M40 dan Pengusaha Kecil dan Sederhana, melalui pakej bantuan PEMULIH yang diumumkan semalam. 

“Pemuda Umno juga mengalu-alukan maklum-balas orang ramai untuk kami ketengahkan kepada kerajaan khususnya dalam isu moratorium yang dikenakan caj atau faedah tambahan,” katanya. 

Perdana Menteri semalam mengumumkan moratorium enam bulan kepada semua peminjam individu, sama ada golongan B40, M40 atau T20 dan usahawan mikro dengan kerjasama pihak bank. 

Menurutnya, tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan serta peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here