Ebit Lew buat seorang ibu di Gaza menangis

0
3

PENDAKWAH dermawan Ebit Lew telah membuat seorang ibu di Gaza, Palestin menangis terharu apabila bakal memperoleh ubat merawat penyakit anaknya tidak lama lagi.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Ebit berkongsi pengalamannya menemui seorang kanak-kanak yang hanya mendiamkan diri kerana mengalami kesakitan di telinga.

“Tadi ziarah beberapa keluarga yang susah dan memerlukan di Gaza. Saya shoping barang keperluan, makanan, dan mainan anak-anak. Bila berbual saya tanya nama. Semua bagitahu nama masing-masing.

“Seorang ni tak jawab-jawab. Rupanya tak dengar dah lama. Sakit. Saya tanya ada bawa jumpa doktor. Ubat hanya ada di Mesir. Dan selepas itu perlu pembedahan di West Bank. Saya terus ambil nama jenis ubat tu. Nanti akan minta team Malaysia yang akan masuk dalam masa terdekat bawa ubat tu. Comel sangat adik tu.

“Maknya sebak menangis bila dengar ubat tu akan dapat dalam masa terdekat. Team Malaysia yang akan masuk lagi akan dibawa @palestineredcrescent,” kata Ebit.

Ebit dan pasukannya baru sahaja dapat menjejakkan kaki di bumi Gaza selepas sebulan tersangkut di Mesir dan menyebabkan misi bantuan untuk rakyat Palestin di Gaza tertangguh.

“Sebak bila anak kecil berlari-lari dan hanya ingin hidup yang tenang dan boleh majukan diri. Sukar peluang pekerjaan. Di bom sampai tiga kali. Hilang seorang demi seorang dalam hidup.

“Saya beri duit belanja dan hadiah buat keluarga yang diziarahi. Tak berhenti mereka doakan untuk kami. Penduduk Gaza lembut dan baik sangat. Sifat dan akhlak mereka benar-benar terpuji,” katanya.

Ebit juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya menjayakan misi kemanusiaan pasukannya di Gaza.

“Terima kasih DS (Datuk Seri) Hishammuddin atas segala bantuan. Allah sahaja yang membalas jasa dan bantuan Datuk Seri.

“Terima kasih Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia. Terima kasih Tuanku TMJ (Tengku Mahkota Johor) yang membantu dan bersama misi ini. Terima kasih semua yang bersama dan semua rakyat Malaysia. Ini semua usaha dan doa anda,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here