Isunya kekurangan bekalan vaksin, bukan kapasiti atau PPV – Exco

0
3
fb/drsitimariah

KERAJAAN Selangor hari ini menjelaskan masalah dihadapi di negeri itu ketika ini adalah kekurangan bekalan vaksin, bukan kapasiti mahupun jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata mengikut semakan rekod, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerima 1,189,350 dos setakat semalam manakala jumlah yang telah diagihkan adalah 954,051 dos.

Justeru, katanya, dos semasa dalam simpanan berbaki sekitar 20% iaitu 235,277 unit dos.

“Bekalan ini hanya dijangka bertahan untuk dua hari lagi sekiranya proses ini dijalankan pada kapasiti penuh PPV.

“Namun, difahamkan hari ini JKNS akan menerima sekitar 60,000 unit dos lagi dan kerajaan negeri dengan ini mengucapkan terima kasih,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata dengan 73 PPV di seluruh Selangor ketika ini, kapasiti vaksinasi harian keseluruhan PPV di Selangor adalah 87,616 orang.

Namun katanya dengan jumlah bekalan sedia ada ada, kadar suntikan harian adalah 53,037 orang sahaja.

“Insya-Allah, apabila digandingkan dengan Program Vaksin Selangor yang akan diumumkan Menteri Besar nanti, kita akan mampu mencapai sasaran Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Kebangsaan.

“Ia seperti disebut oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Khairy Jamaluddin) dengan masing-masing 135,000 dan 165,000 kadar vaksinasi harian menjelang Julai dan Ogos,” katanya.

Terdahulu hari ini, Khairy dilaporkan berkata kerajaan Pusat mahu menghantar lebih banyak vaksin ke Selangor, namun ia bergantung kepada kapasiti penggunaan negeri itu.

Susulan itu, beliau meminta pentadbiran negeri mempercepatkan penggunaan vaksin yang ketika ini mencecah 76 peratus, masih di belakang negeri-negeri lain.

“Pada 27 Jun, Selangor (menerima) 1,367,306 dos vaksin Pfizer, Sinovac dan Astrazeneca. Baki yang ada di Selangor adalah 322,606 dos.

“Jadi, kadar penggunaan negeri Selangor adalah 76 peratus. Sebab itu saya minta negeri Selangor percepatkan lagi kadar penggunaan vaksin. Jadi tuduhan vaksin tidak dihantar di Selangor tidak betul,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Dr Siti Mariah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here