LAPAN remaja lelaki dan seorang wanita dikompaun keseluruhan RM18,000 selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ditahan di susur Lebuhraya Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor lewat petang semalam.
Remaja lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun dan wanita berusia 20 tahun itu ditahan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 dengan menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata hasil pemeriksaan terhadap kesemua yang ditahan mendapati mereka keluar dengan jarak melebihi 10 kilometer daripada alamat tempat tinggal dengan alasan tidak munasabah dan tanpa surat kebenaran daripada pihak berkaitan
“Sebanyak sembilan kompaun dikeluarkan kepada mereka dengan jumlah keseluruhan kompaun adalah RM18,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 16 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021 yang boleh dihukum bawah Peraturan 17 peraturan yang sama. – Malaysiapost

