Ruang solat masjid tak boleh jadi tempat suntikan vaksin

0
3
FB/Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim

RUANG solat di dalam masjid tidak boleh dijadikan sebagai tempat suntikan vaksin Covid-19, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Ahmad Amzad berkata, beliau menerima maklumat ada negeri telah memulakan Program Pemberian Vaksin (PPV) di masjid tanpa merujuk prosedur operasi standrard (SOP) kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Susulan itu, katanya, tersebar gambar ruang solat digunakan untuk suntikan, malah ada yang menggunakannya untuk ruang menunggu dengan disusun kerusi.

“Sebaik menerima maklumat ini, saya segera menghubungi Exco Kesihatan negeri berkenaan memaklumkan supaya diambil langkah pembaikan untuk mengelak gambaran negatif yang merosakkan usaha murni ini.

“Saya sendiri telah turun ke padang dan memberikan teguran.

“Ada pegawai kesihatan beri alasan kepada saya bahawa mereka guna ruang solat sebab tak ada ruang lain yang sesuai dan lapang untuk tujuan itu di masjid berkenaan.

“Saya maklumkan alasan itu tidak boleh diterima,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Ahmad Amzad berkata PPV masjid boleh dibuka hanya jika kemudahan bersesuaian.

“Jika tak sesuai, ia sepatutnya dari awal tidak dibenarkan. Kita bukan minta setiap masjid buka PPV. Kita ada lebih banyak lagi jenis PPV lain yang dibuka. Dewan orang ramai, balai raya, Klinik Kesihatan.

“Saya telah mengarahkan supaya kesilapan yang sama tidak diulangi dan penambahbaikan dibuat,” katanya.

Ahli Parlimen Terengganu itu berkata susulan kejayaan pelaksanaan projek perintis PPV masjid, saya telah meminta inisiatif ini dikembangkan dengan garis panduan yang ditetapkan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan sedang mempertimbangkan lebih banyak kelonggaran dibuka mengikut tahap pencapaian Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Cadangan supaya mereka yang telah selesai menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 dan telah melepasi tempoh 15-20 hari dari dos kedua vaksin yang diperlukan untuk mencapai tahap perlindungan disasarkan agar diberi kelonggaran pergerakan.

“Misalnya boleh bermesyuarat fizikal, boleh masuk ke masjid untuk solat berjemaah dan pelbagai kelonggaran sedang dipertimbangkan dan akan diputuskan jika bersesuaian,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here