TIADA kenaikan tarif elektrik hingga hujung tahun ini dan semua pemilik akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dianggarkan seramai 9.44 juta pengguna akan terus menikmati rebat elektrik sebanyak 2.00 sen/kWj bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata mengambil kira cabaran dan kesukaran dihadapi rakyat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19, Kerajaan telah bersetuju untuk membiayai pemberian rebat tambahan.
Menurutnya, rebat tambahan itu adalah sebanyak 0.87 sen/kWj yang membabitkan peruntukan RM493 juta melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
“Oleh itu, semua pemilik akaun TNB yang dianggarkan seramai 9.44 juta pengguna akan terus menikmati rebat elektrik sebanyak 2.00 sen/kWj bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021.
“Pemberian rebat tambahan ini membolehkan semua pemilik akaun TNB menikmati purata diskaun sebanyak lima peratus bagi tempoh tersebut,” katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.
Beliau berkata, bagi pengguna di Kulim High Technology Park (KHTP) yang mendapat bekalan elektrik daripada NUR Power Sdn Bhd, kerajaan juga bersetuju memberi rebat elektrik sebanyak 2.00 sen/kWj kepada pengguna bukan domestik bagi tempoh sama.
“Ini kali pertama pengguna bukan domestik di KHTP menikmati rebat elektrik sejak mekanisme penetapan tarif Incentive-Based Regulations dilaksanakan pada tahun 2017.
“Pemberian rebat ini dilaksanakan berikutan berlakunya penurunan harga bahan api gas dan bekalan elektrik pukal TNB pada separuh tahun pertama 2021 serta penjimatan daripada pelarasan kos sebenar bahan api bagi tempoh Julai hingga Disember 2020,” katanya.
Menurutnya, selain pembiayaan rebat tambahan ini, kerajaan bersetuju untuk memberi diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna domestik dan bukan domestik bagi tempoh Julai hingga September 2021 untuk Semenanjung dan Sabah.
“Perkara ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri. Justeru apa yang saya umumkan hari ini berbeza berbanding diskaun.
“Namun penting kerana kerajaan telah bersetuju membelanjakan RM493 juta agar tidak berlaku kenaikan tarif elektrik, dan mengekalkan sebagaimana sekarang,” katanya.
Shamsul Anuar berkata, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) juga ingin memaklumkan bahawa golongan miskin tegar dengan pendapatan RM1,169 ke bawah yang berdaftar di dalam Sistem e-Kasih adalah layak mendapat rebat bil elektrik RM40.
“Sehingga Mei 2021, jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak ialah 282,182. Bagaimanapun hanya 113,745 iaitu 40.31 peratus daripada KIR yang layak telah mengemas kini nombor akaun bil elektrik mereka.
“Oleh itu, saya menyeru agar mereka yang layak untuk mengemas kini nombor akaun dengan pihak utiliti bagi membolehkan mereka menikmati rebat bil elektrik berkenaan,” katanya – Malaysiapost

