PEMUDA Umno menyarankan kerajaan melakukan “Post-Mortem” untuk mengenal pasti punca kegagalan penurunan angka kes Covid-19 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tindakan itu perlu dilaksanakan kerana kini negara terpaksa menyambung lagi dengan nama lain Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Pastikan Menteri MITI (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) hadir dalam sesi ‘muhasabah’ tersebut.
“Bukan apa, sejak awal lagi Pemuda Umno tegaskan agar jangan buat separa masak dan tutup semua sektor kilang yang sejak awal menjadi penyumbang utama kepada penularan wabak.
“Apa pandangan semua mengenai punca kegagalan ini?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook.
Kes harian Covid-19 di negara disifatkan membimbangkan dengan mencatatkan purata lebih 4,000 kes sehari walaupun kerajaan melaksanakan darurat Januari lalu dan PKP menyeluruh sejak 1 Jun lalu.
Kerajaan dikritik kerana melaksanakan perintah kawalan ‘separuh masak’ sehingga menyebabkan kes meningkat terutama dalam sektor perkilangan.

