BEKAS penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus berdepan satu lagi cabaran dalam hidupnya apabila terpaksa menutup gerai daging salai masak lemak cili api yang diusahakannya sejak Oktober tahun lalu.
Khalid memaklumkan gerai diusahakannya di Lepak Court Batu 7, Sijangkang di Kuala Langat itu terpaksa ‘gulung tikar’ menerusi satu hantaran di Facebooknya malam tadi.
“Tikar yang kami bentang… tikar tu juga kami terpaksa gulung,” tulisnya berserta emoji menangis dalam hantaran itu.
Bekas penyerang prolifik Perak, Selangor dan Kelantan itu tidak memaklumkan punca gerai tersebut terpaksa ditutup.
Bagaimanapun dipercayai perkara tersebut terpaksa dibuat susulan kesan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terus berlarutan.
Menjawab pertanyaan di ruangan komen sama ada dia akan kembali membuka gerai tersebut selepas ini, Khalid, 43, menjawab tidak tahu lagi.
Awal tahun ini media melaporkan Khalid mengusahakan perniagaan itu hasil jualan kasut emas dan barangan peribadinya sepanjang bergelar pemain bola sepak.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, pemilihan menu itu berikutan ayah dan keluarga isterinya yang berasal dari Negeri Sembilan.
Pada September tahun lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli kasut emas Khalid pada satu nilai dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan penyerahannya diadakan dalam satu majlis ringkas di Istana Alam Shah, Klang.
Kasut emas itu diraih Khalid setelah menjaringkan 17 gol bersama Perak dalam saingan Liga Perdana 2002. – Malaysiapost


