AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razlan Rafii merayu kerajaan untuk mendengar keluhan dan keresahan rakyat agar operasi perkilangan ditutup.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Tan Sri MuhyiddinYassin memberi had bahawa selagi angka 4,000 kebawah tidak dicapai, kerajaan akan meneruskan lockdown.
Katanya, pada permulaan diumumkan lockdown, ramai yang memberi maklum pada Perdana Menteri bahawa kebanyakan kes-kes ini terjadi di tempat kerja atau lebih tepat lagi di Kilang-kilang.
“Iaitu sebanyak 80 hingga 90 peratus kluster baru dilaporkan setiap hari adalah tempat Kerja.
“Perdana Menteri boleh memberi had 4,000, namun apakah tindakan yang kerajaan akan lakukan untuk menurunkan angka ini?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook.
Jelasnya, 90 peratus rakyat tidak terlibat dengan kluster-kluster baru ini dimana mereka yang terperuk di rumah lebih ramai dari pihak yang menyumbang kes harian tersebut, semuanya disebabkan kebenaran yang diberikan sendiri Kerajaan atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Selain itu, katanya, ramai penganalisa kerajaan memberi jaminan, vaksin adalah jalan keluar.
“Ya, itu benar, namun Perdana Menteri kan sudah maklum, untuk mencapai imuniti kelompok akan menunggu sehingga bulan Disember.
“Adakah rakyat terpaksa duduk di rumah sehingga bulan Disember walhal tindakan Total Lockdown kerajaan yang separuh masak inilah yang menyebabkan kegagalan untuk menurunkan kes-kes ini.
“Dari hari pertama Kerajaan umumkan lockdown, rakyat sudah mengeluh berkenaan operasi kilang yang berleluasa dan sudah memberi jangkaan kepada kerajaan bahawa kes tidak dapat diturunkan kerana pembukaan sektor kilang ini.
“Tapi seperti biasa, Kerajaan mengambil keluhan dan rungutan ini sebagai masuk telinga kiri keluar telinga kanan,” katanya.
Justeru itu, beliau berkata, di mana lagi rakyat mahu mengadu, sedangkan tindakan pihak Istana memberi nasihat pun kerajaan ‘pekakkan telinga’, sanggup mempolitikkan kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan mencari jalan penyelesaian yang tuntas untuk menurunkan kes-kes ini, kerana rakyat kini semakin tertekan.
“Jangan kita sengsarakan 90% kehidupan rakyat yang terus berdisiplin duduk di rumah,” katanya. – Malaysiapost

