Lanjut PKP: Kerajaan perlu jaga ‘perut rakyat’, jangan biar kelaparan

0
1

KERAJAAN digesa untuk mengambil tindakan adil dan segera dengan melaksanakan lima perkara sebelum melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Penganalisis Politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata sekiranya lanjutan PKP itu baik untuk rakyat dan negara, maka ia wajar dilaksanakan.

Namun, katanya, apa yang paling penting ialah menjaga ‘perut rakyat’ bagi mengelak kebangkitan golongan itu sekiranya membiarkan mereka terus kelaparan.

“Rakyat tidak ke jalanan jika sekadar marah dan kecewa dengan kerajaan. Tetapi sekali perut mereka lapar, inilah yang mendorong kebangkitan mereka.

“Kejayaan reformasi Indonesia pada tahun 1998 adalah kerana rakyat kelaparan. Di Tunisia, anak muda Mohammed Bouazizi membakar diri pada pertengahan Disember 2010 kerana perniagaan sayurnya diganggu pihak berkuasa.

“Kesulitan hidup inilah juga yang merupakan faktor merebaknya kebangkitan Arab sehingga ke Mesir dan Libya,” katanya dalam hantaran Facebook.

Selain itu, Agus berkata, kerajaan juga perlu mempercepatkan proses vaksinasi rakyat.

“Setakat ini kita telah mempunyai 728,462 jumlah kes dengan 60,646 kes aktif. Kes kematian pun sudah 4,884, hampir mencecah 5,000 orang.

“Sedihya, bilangan rakyat yang sudah divaksin setakat dua hari lepas hanyalah 6.8 juta orang sahaja. Daripada jumlah itu, 4,924,334 orang (15.1%) telah mendapatkan suntikan dos pertama, dan 1,898,770 lagi (5.8%) lengkap dengan kedua-dua dos. Dengan kadar negara lain sudah melebihi 50% yang telah divaksin, percepatkan proses vaksinasi ini,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan juga digesa melaksanakan prosedur operasi standadr (SOP) dengan adil tanpa pilih kasih antara kayangan dan marhaen.

“Kita tahu ada kes orang kayangan melanggar SOP, proses mendendanya, jika ada, mengambil masa yang lama. Perlu arahan Peguam Negara trelebih dahulu.

“Selain itu, SOP perlu jelas dan standard. Hapuskan semua SOP yang mengelirukan penguat kuasa. Begitu juga dengan dendanya, perlu jelas dan adil,” katanya.

Selain itu, Agus meminta kerajaan menyegerakan bantuan kepada rakyat yang terkesan supaya mereka tidak tertekan sehingga mengambil keputusan di luar kewarasan.

“Kita tahukan kadar orang yang terjun bangunan dan jambatan sekarang? Apa lagi faktornya jika tidak kerana tekanan perasaan dan kewangan,” katanya.

“Akhirnya, pesan saya sederhana: Kerajaan jagalah rakyat kita ini. Mereka menangis sekarang,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here