“SAYA akui memang salah sebab terlepas pandang. Saya hanya memenuhi hasrat orang, tak mahu kecilkan hati orang,” kata Datuk Jamal Abdillah.
Penyanyi tersohor negara itu berkata demikian susulan tular gambarnya di media sosial yang dilihat sedang ‘berpesta’ di dalam dusun durian baru-baru ini.
“Saya tak tahu dekat situ ada orang lain, jadi apabila orang lihat saya… tiba-tiba ramai datang berkumpul,” katanya.
Menjelas mengenainya, pemilik nama Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 62, berkata, dia berada di sebuah ladang di Kampung Poh, Bidor, Perak pada Jumaat lalu bagi mendapatkan baja untuk bisnes kolam ikan yang diusahakannya.
Tambah Jamal, dia juga tidak menyangka persinggahannya itu mengundang masalah apabila secara tidak langsung menarik perhatian penduduk kampung untuk turut serta.
“Sebenarnya saya ke sana kerana urusan untuk dapatkan baja untuk kolam ikan. Lepas itu kawan-kawan yang ada dusun durian ajak saya makan durian, saya ikut la. Orang jemput makan takkan saya nak tolak… hanya singgah sekejap je,” katanya seperti dilapor MStar.
Berhubung suasana dusun itu seakan pesta dan Jamal dilihat sedang menghiburkan orang ramai, dia berkata ia berlaku secara kebetulan.
“Kebetulan tempat tu ada set karaoke, sambil makan… saya menyanyi. Sebelum tu saya pakai pelitup muka tapi apabila nak makan dan nyanyi, saya letak tepi,” katanya.
Dalam pada itu, hero filem Azura itu berkata, dia sedia memberi kerjasama dan akan hadir ke Balai Polis Tapah kira-kira pukul 2 petang hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail dilaporkan berkata, pihaknya akan mendapatkan keterangan Jamal dan beberapa individu lain dipercayai peniaga dan penduduk kampung bagi membantu siasatan.
Katanya, Jamal kini disiasat polis atas dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kerana menyertai satu majlis sosial. – Malaysiapost.

