POLIS menahan dua lelaki dipercayai cuba menyembunyikan dadah bernilai lebih RM6.4 juta dengan menyimpannya dalam but kereta mewah jenis Bentley yang diubahsuai, di Plaza Tol Gopeng, Perak, Rabu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata, suspek berusia 41 dan 47 tahun itu ditahan selepas selepas gagal melepasi sekatan jalan raya (SJR) Covid-19 di Plaza tol berkenaan.
Beliau berkata, suspek dalam perjalanan dari Johor menuju ke utara terpaksa melalui susur keluar plaza tol berkenaan untuk mencari mekanik sebelum ditahan anggota yang bertugas sekitar jam 7.30 petang.
Mior Faridalathrash berkata, pemeriksaan menemui 123 bungkusan teh mengandungi 128.78 kilogram dadah jenis methamphetamine.
“Suspek menyimpan 117 bungkusan di ruang but yang diubahsuai manakala enam bungkusan lagi di ruang penyimpanan tayar tambahan.
“Secara kasarnya ia tidak kelihatan sehingga anggota melakukan pemeriksaan teliti pada kenderaan terbabit dan didapati dadah berkenaan disimpan dalam petak khas di ruangan itu,” katanya.
Beliau berkata, suspek turut bertindak nekad merentas negeri menggunakan alasan urusan perniagaan dengan mengemukakan borang kebenaran yang sudah tamat tempoh.
“Polis percaya bekalan dadah berkenaan bukanlah untuk pasaran di Perak sebaliknya untuk negeri-negeri di utara.
“Mereka ditahan dan kenderaan terbabit disita untuk siasatan lanjut. Turut dirampas sejumlah wang tunai bernilai RM3,390,” katanya.
Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga Rabu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Malaysiapost

