‘Hartal Doktor Kontrak’, pegawai perubatan patut diserap jawatan tetap

0
1

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) perlu segera menyerap pegawai perubatan berstatus kontrak ke dalam jawatan tetap Suruhanjaya Perhidmatan Awam (SPA).

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sudah tiba masanya kerajaan menyerap pegawai perubatan ke dalam SPA kerana sistem kesihatan negara tidak lagi boleh menampung bebanan kerja ekoran pandemik Covid-19

“Saya menyeru kerajaan mengemukakan segera formula terbaik untuk menyerapkan pegawai perubatan kontrak ke dalam sistem perkhidmatan Kerajaan.

“Benar bahawa serapan ke jawatan tetap secara lazimnya berlaku bila ada kekosongan. Tetapi sistem kesihatan kita tidak lagi boleh beroperasi dengan kapasiti terdahulu dengan jumlah perjawatan diperuntukkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pada nisbah dan norma pra pandemik,” katanya di Facebook, hari ini.

Gesaan Mohamad itu susulan seruan ‘Hartal Doktor Kontrak’ di media sosial yang merancang untuk melakukan mogok kerana tidak berpuas hati berkenaan nasib dan masa depan mereka seperti dipinggirkan kerajaan.

“Seruan ‘Hartal Doktor Kontrak’ di media sosial untuk pegawai perubatan kontrak melakukan mogok pada 1 Julai 2021 mesti ditangani segera.

“Ia tidak boleh dibenarkan berlaku dan Kerajaan mesti mengemukakan penyelesaian tuntas terhadap masalah ini.

“Ini melibatkan lebih 23,000 pegawai perubatan yang tidak diserapkan dalam perkhidmatan perubatan setelah mereka bergraduat dan melakukan ‘houseman ship’ semenjak 2016,” katanya.

Mohamad menjelaskan, pandemik ini membuktikan betapa sistem perubatan negara sangat memerlukan peningkatan dan pembaharuan radikal.

“Pelanjutan kontrak mereka sehingga penghujung tahun 2022 bukan penyelesaian yang selari dengan kepentingan jangka masa panjang sektor perubatan negara.

“Kita memerlukan lebih banyak hospital, lebih ramai pakar, pegawai kesihatan dan jururawat terlatih serta peningkatan akses secara menyeluruh kepada kemudahan kesihatan berkualiti walau dimana jua tanpa mengira kemampuan,” katanya.

Mohamad menambah, keadaan gawat ketika ini menuntut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merangka dasar dan keperluan guna tenaga yang lebih strategik dan mapan dalam ‘primary care’, kesihatan mental, pembangunan hospital dan prasarana perubatan, ‘preventive health’ dan penyelidikan perubatan.

“Tanpa perlu berkompromi dengan mutu dan standard, pengwujudan jawatan tetap yang lebih banyak dan pada segera adalah keutamaan nasional.

“Kepada semua pegawai perubatan kontrak, jasa dan keringat anda sangat kami hargai. Kegelisahan, kekecewaan dan masa depan anda semua adalah keutamaan yang akan kami perjuangkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here