YANG Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dilaporkan akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Selasa ini.
Menurut sumber, Rais dan Azhar mendapat jemputan dari Istana Negara semalam dan pertemuan itu adalah bagi membincangkan mengenai persidangan Parlimen.
“Mereka dipanggil ke Istana Negara bagi mengadap Agong pada Selasa ini, jam 11 pagi.
“Agong mungkin mahu bertemu dengan Speaker untuk berbincang mengenai pembukaan Parlimen sebelum tempoh darurat berakhir pada 1 Ogos ini,” lapor The Malaysia Insight.
Semalam, Rais dan Azhar mencadangkan persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun minggu pertama September tahun ini.
Mereka juga mencadangkan agar satu Sidang Khas Parlimen diadakan pada awal Ogos tertakluk kepada syarat ketat pencegahan penularan Covid-19 yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan. – Malaysiapost

