Penyumbang kes, sektor kilang umpama kebal Covid-19 – DPIM

0
2

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyifatkan sektor perkilangan umpama kebal daripada wabak Covid-19 meskipun dilihat penyumbang kepada peningkatan kes harian, namun masih dibenarkan beroperasi.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, sektor kilang atau Kluster Tempat Kerja kekal menjadi kluster dominan harian bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, iaitu sekitar 90 peratus setiap hari.

Beliau memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mengatakan sektor kilang terus merekodkan jumlah jangkitan baharu tertinggi bagi kluster tempat kerja.

“Sehingga kini, sektor berkenaan telah mencatatkan 95,156 kes melibatkan 639 kluster,” menurut Dr Noor Hisham.

Justeru, DPIM melihat keadaan itu umpama sektor kilang merasakan diri mereka kebal dari Covid-19.

Beliau berkata, sektor kilang di Selangor dan Kuala Lumpur masih dibuka dan beroperasi, malah kebanyakannya tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dengan tiada had pekerja pada sesuatu masa.

“Keadaan seperti ini menyebabkan kes harian tetap mencanak dan tidak akan turun. Ianya umpama kita patah tangan kanan, tetapi yang dirawat adalah kaki kiri.

“Masalah Covid-19 di negara kita tidak akan diselesaikan jika kluster terbesar, iaitu kluster tempat kerja tidak ditangani dengan betul,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat pula kian terhimpit dengan desakan hidup, termasuk golongan M40, terutama di bandar-bandar.

“Golongan usahawan PKS turut memerlukan moratorium pinjaman kerana perniagaan mereka turut terjejas.

“Lebih 600,000 isi rumah daripada golongan pendapatan M40 telah jatuh ke kategori B40 disebabkan krisis Covid-19 yang menjejaskan paras pendapatan penduduk Malaysia.

“Berdasarkan kajian dan maklumat Jabatan Statistik, sekurangnya-kurangnya lapan peratus daripada 7.28 juta isi rumah yang dilaporkan, mengalami kemerosotan pendapatan ke bawah paras pendapatan maksimum B40 iaitu RM4,850 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, kemerosotan ketara paras pendapatan itu telah mencetuskan kebimbangan mengenai ketidaksamaan yang semakin meluas dan kesannya terhadap kedudukan sosioekonomi Malaysia, seterusnya menyebabkan tumpuan berganjak kepada pelan kerajaan untuk menangani keadaan tersebut.

“Malah, DPIM turut kecewa apabila menerima berita terdapat ramai rakyat di negara kita kini merana kerana tiada punca pendapatan.

“Laporan berita semalam menunjukkan seorang wanita mengalami tekanan emosi akibat diberhentikan kerja dan cuba membunuh diri dari tingkat 32 sebuah kondominium di Damansara.

“Difahamkan, mangsa yang mempunyai masalah kewangan itu turut dihalau keluar oleh pemilik rumah selepas gagal membayar sewa biliknya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan menambahbaikan segera berkenaan pengeluaran tambahan daripada simpanan rakyat sendiri melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ia supaya sewa dapat dibayar dan makanan masih dapat disediakan di atas meja, walaupun tiada pendapatan dalam Fasa 1 yang makin mencabar.
Kemungkinan Fasa 1 akan lebih lama daripada 45 hari PKP penuh 1.0 tahun lepas.

“Kita yakin kerajaan Perikatan Nasional akan meringankan beban rakyat dengan mengumumkan bantuan segera dalam masa terdekat,” katanya. -MalaysiaPost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here