Nilam Oshman
SERAMAI 735 individu ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 705 individu dikompaun manakala 30 direman.
“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (153), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (149), tidak memakai pelitup muka (143) dan tiada penjarakan fizikal (130).
“Selain itu, membawa penumpang berlebihan (50), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (41), aktiviti pusat hiburan (10), premis gagal patuhi arahan (lapan) dan lain-lain (51),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, Ops Benteng semalam berjaya menahan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas enam buah kenderaan darat.
Dalam operasi itu, sebanyak 208 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan.
Selain itu, Ismail Sabri turut memaklumkan, kerajaan akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan SOP Covid-19 di sektor perkilangan dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan dan SOP yang telah diwartakan.
Katanya, semalam pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan sebanyak 2,224 pemeriksaan ke atas kilang dan 11,680 premis perniagaan.
“Daripada jumlah itu, lima kilang dan 10 premis telah diarahkan tutup selain 12 tangkapan telah direkodkan kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP,” katanya. -Malaysiapost

