3 polis antara 6 ditahan, larikan peti besi berisi RM400,000

0
2

TIGA anggota polis antara enam ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian rompakan serta melarikan peti besi mengandungi hampir RM400,000 daripada sebuah syarikat penghantaran di pusat bandar Alor Setar, Kedah, Rabu lalu.

Ketiga-ketiga mereka yang berpangkat sarjan dan dua koperal itu ditahan di beberapa lokasi berasingan di daerah Kota Setar dalam serbuan pada Rabu dan semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, terdahulu dalam kejadian jam 1.30 pagi Rabu itu, sekumpulan perompak memecah masuk premis berkenaan.

Menurutnya, kejadian disedari pengurus syarikat berkenaan yang membuat pemeriksaan selepas mendapati kamera rakaman litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi sebelum menemui kesan umpil pada pintu utama premis terbabit.

“Pengurus terbabit kemudian membuat laporan sebelum gerakan memburu suspek dilancarkan.

“Polis berjaya menahan seorang suspek iaitu orang awam tidak jauh dari lokasi kejadian pada jam 4 pagi hari sama,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Susulan itu, beliau berkata, polis menahan lima lagi suspek iaitu dua daripadanya orang awam Khamis lalu, manakala tiga anggota polis terbabit ditahan pada Jumaat.

“Kesemua mereka ditahan di rumah serta pejabat oleh pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah,” katanya.

Beliau berkata, polis menemui semula wang tunai RM263,295 dan masih mengesan baki kira-kira RM130,000 serta dua lagi suspek.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata, siasatan mendapati peti besi itu telah digergaji dan dikopak sebelum kesemua wang didalamnya dikeluarkan.

Kesemua suspek berusia 21 hingga 50 tahun itu telah direman bermula Jumaat sehingga 1 Julai ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif dadah, manakala tiga anggota terbabit negatif,” katanya. Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here