AHLI Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mengingatkan kerajaan supaya tidak bersikap piliha kasih dalam menentukan sektor yang dibenarkan beroperasi semasa pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown.
Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu turut menggesa kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera mengubahsuai semula prosedur operasi standard (SOP) supaya ianya bersesuaian dengan semua sektor perniagaan.
“Ia bagi membolehkan mereka bertahan dalam tempoh pandemik ini. Adalah sesuatu yang tidak masuk akal apabila pasar moden dan gerai di tepi-tepi jalan boleh beroperasi sedangkan penjaja pasar pagi terbuka tidak dibenarkan.
“Kesemua golongan peniaga ini berada di dalam kelompok yang sama dan mereka turut terkesan dengan pandemik ini tanpa terkecuali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Hannah berkata, Kerajaan Perikatan Nasional (PN)sudah kerap kali diingatkan untuk mengubah strategi dan pendekatan yang dibuat bagi mendapatkan keputusan berbeza.
“Total lockdown yang dilaksanakan sekarang ternyata tidak berkesan, malah SOP yang digunapakai tidak berasaskan data dan keadaan rakyat serta keperluan para peniaga kecil yang terjejas dibawah.
“Ketika kita semua mengakui kepentingan untuk mengutamakan kesihatan dan nyawa rakyat, namun jangan pula kita abaikan keperluan kelangsungan sektor perniagaan yang turut menjadi ‘nyawa’ kepada para peniaga kecil ini,” katanya. – Malaysiapost

