SEBANYAK 18 lagi kluster baharu melibatkan tempat kerja dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.
Jumlah itu adalah daripada keseluruhan 21 lagi kluster baharu yang dilaporkan KKM di seluruh negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor merekodkan kluster tempat kerja tertinggi iaitu lapan.
Ia membabitkan Kluster Jalan Ampang Water Front Dua; Tapak Bina Jalan City; Tapak Bina Lebuh 2; Industri SS Lapan Dua; Industri Kilometer 17 Rawang; Industri Jalan Seruling 59; Jalan Cyberia Dua dan Industri Jalan Norton.
Kluster tempat kerja di negeri lain yang dicatatkan hari ini adalah lima di Kuala Lumpur, masing-masing satu di Perak, Pahang, Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Kedah dan Sarawak.
Selain itu, beliau berkata, terdapat satu kluster berkaitan aktiviti komuniti di Perak dan Terengganu.
“Turut direkodkan ialah satu kategori Kluster Pusat Tahanan di Sarawak iaitu Kluster Kilometer 23 Puncak Borneo membabitkan daerah Kuching yang setakat ini menyebabkan 37 kes dikesan positif Covid-19,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, secara keseluruhan sejak pandemik bermula terdapat 2,741 kluster Covid-19 di negara ini.
“Jumlah kluster yang sudah tamat adalah 1,868, manakala jumlah kluster aktif dengan kebolehjangkitan membabitkan 873 kluster,” katanya. – Malaysiapost

