Op Patuh bendung pelanggaran SOP PKP secara bersepadu

0
2
Pekerja-pekerja Gardenia mengikut SOP sebelum mula bekerja.

OPERASI membanteras ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenali sebagai Op Patuh akan dilaksanakan secara besar-besaran diperingkat nasional dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) hari ini.

Beliau berkata, ia susulan daripada keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pengurusan Covid-19 pada 21 Jun lalu yang mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengetuai dan mengkoordinasikan aspek penguatkuasaan pematuhan SOP dalam tempoh pelaksanaan PKP.

“Mesyuarat pertama JKPS yang saya pengerusikan hari ini disertai 21 kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan.

“Bagi memperkasakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat dan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi, JKPS bersetuju untuk melancarkan operasi membanteras ketidakpatuhan SOP diperingkat nasional secara bersepadu dan besar-besaran yang dikenali sebagai Op Patuh,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara, hari ini.

Hamzah berkata, Op Patuh akan memberikan lebih fokus dan bersepadu terhadap penguatkuasaan pematuhan SOP dalam kalangan kilang dan premis perniagaan yang beroperasi sepanjang PKP.

Katanya, Op Patuh itu akan diadakan selama beberapa hari di seluruh negara dengan fokus diberikan melalui pemetaan kawasan hot-spot Covid-19 yang dipantau melalui sistem amaran awal Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).

“Sekatan jalan raya (SJR) atau SJR bergerak akan ditumpukan di kawasan hot-spot Covid-19 di seluruh negara terutama di kawasan perkilangan dan perindustrian utama.

“Aset-aset strategik milik semua agensi penguatkuasaan yang akan diatur gerak secara bersepadu. Kita akan gunakan aset-aset ini seperti helikopter, dron dan melalui pemantauan lebih berkesan secara pemetaan kawasan seluruh negara nanti,” katanya.

Beliau berkata, selain itu bagi menambahbaik prosedur pengurusan aduan yang diterima berhubung ketidakpatuhan dan pelanggaran SOP di seluruh negara Mesyuarat JKPS juga memutuskan semua aduan yang diterima oleh mana-mana agensi penguatkuasaan sebelum ini akan dikoordinasi oleh KDN untuk tindakan penguatkuasaan di lapangan

Sehubungan itu, peranan Pasukan Petugas Khas yang sebelum ini dikendalikan oleh MKN akan diambil alih oleh KDN bagi meneliti setiap aduan awam yang diterima atau apa-apa aduan termasuk memastikan tindakan susulan diambil terhadap aduan-aduan tersebut.

“Orang awam boleh mengemukakan aduan pelanggaran pematuhan SOP PKP melalui saluran aduan sedia ada MKN iaitu [email protected] atau saluran aduan KDN di [email protected]

“Bagi tindakan penguatkuasaan di lapangan yang lebih pantas dan tersusun pula, Angkatan Pertahanan Awam (APM) kini akan bertindak sebagai pasukan tindakan pantas yang akan ke lokasi yang telah dikenalpasti melalui sistem HIDE sebelum tindakan susulan diambil oleh agensi penguatkuasa yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga semalam dalam tempoh 10 hari, hampir 123,000 premis perniagaan dan 22,000 kilang telah di periksa di seluruh negara.

“Hasil pemeriksaan tersebut sebanyak 885 kompaun telah dikeluarkan terhadap kilang dan premis perniagaan, manakala 265 premis telah diarahkan tutup serta 39 tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi SOP dan arahan PKP,” katanya.

Hamzah berkata, dengan kerjasama bersepadu JKPS dapat mengoptimumkan penglibatan dan penugasan anggota agensi penguatkuasaan yang telah diturunkan kuasa di Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah-Langkah Dalam Kawasan Jangkitan 2021.

“Ketegasan dan keberkesanan aspek penguatkuasaan ini adalah amat penting sekali bagi membolehkan negara dapat beralih kepada fasa pemulihan yang lebih baik dengan segera sejajar dengan dasar Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dirancang oleh kerajaan.

“Kita akan guna kan tanda pagar #AmaldanPatuh #MenangBersama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here