Shahrol Shiro mahu daerah Kluang menang lawan Covid-19

0
2

BAGI meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kebaikan suntikan vaksin, pelawak Shahrol Shiro sanggup turun padang bersama sukarelawan lain bagi membantu orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.

Shahrol yang juga anak jati Kluang, Johor kerap berkongsi di laman Instagram miliknya aktiviti bersama rakan-rakan sukarelawan dalam usaha memupuk kesedaran dalam kalangan penduduk di daerah itu.

“Bukan saya tapi kita. Kita bergerak bersama membantu mereka untuk mendaftar vaksin. Niat kami cuma satu, iaitu menjadikan daerah Kluang berjaya melawan Covid-19.

“Kepada warga di sana yang terlepas untuk mendaftar, boleh hubungi nombor yang diberikan di gambar tersebut. Insya-Allah, kita boleh lakukan.

“Seterusnya, terima kasih kepada anak muda Southern Volunteers Kluang bersama membantu warga Taman Kluang Barat untuk mendaftar vaksin serta memberi kesedaran tentang kepentingan vaksin,” katanya dalam hantaran Instagram.

Shahrol turut berterima kasih kepada penduduk setempat kerana sudi memberi kerjasama terbaik kepada para sukarelawan.

Pada hantaran lain, Shahrol juga berterima kasih kepada rakan seperjuangan, Achey kerana sudi turut serta melancarkan program kesedaran vaksinasi tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here