Pengabungan Celcom-Digi boleh jejaskan pengguna – Najib

0
2

PENGABUNGAN Axiata Group Bhd dan Telenor ASA yang membentuk entiti Celcom Digi Bhd (Celcom Digi) mampu menjejaskan persaingan serta pengguna.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara itu juga telah menimbulkan kebimbangan dan dibantah Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) hari ini, kerana akan merugikan pengguna.

“Celcom dan Digi secara bersama membentuk 67% daripada pelanggan telefon bimbit di negara ini. Pegangan sebegitu besar (oleh sebuah gabungan) boleh menjejaskan persaingan dan, akhirnya, menjejaskan pengguna.

“Nilai yang digunakan untuk penggabungan itu juga berat sebelah sebab Digi dinilai 67% lebih tinggi berbanding Celcom. Malah, keuntungan tahunan Axiata akan jatuh 10% manakala keuntungan Digi akan naik 5% selepas Celcom-Digi digabung,” katanya menerusi Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pada April lalu beliau pernah minta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menyiasat rancangan penggabungan ini.

Katanya, siasatan itu penting sekiranya penggabungan itu akan membawa kepada harga lebih tinggi bagi pengguna akibat tahap persaingan yang jauh lebih rendah.

“Tapi MyCC enggan siasat sebab mereka kata ini di luar bidang kuasa dan ianya terpulang kepada SKMM,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan dua jenama telekomunikasi besar negara itu, sah bergabung selepas Axiata Group Berhad, Telenor Asia Pte Ltd dan Digi.com Berhad mengumumkan telah menandatangani perjanjian transaksi penggabungan tersebut.

Menurut Axiata dan Telenor, pihaknya telah menyelesaikan langkah ketekunan wajar yang perlu dan Celcom Axiata Berhad bersama Digi akan membentuk entiti penyedia perkhidmatan digital yang lebih berdaya tahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here